Sabtu, 15 Ogos 2009

Isytihar Darurat Segera Untuk Bendung Wabak Influenza A (H1N1)

Kenyataan Media

Angkatan Muda Keadilan Selangor
Parti Keadilan Rakyat

15hb Ogos 2009

Isytihar Darurat Segera Untuk Bendung Wabak Influenza A (H1N1)

Angkatan Muda Keadilan Selangor memohon Kabinet mempertimbangkan pengisytiharan darurat di seluruh negara segera untuk membendung penularan wabak Influenza A (H1N1). Jumlah kematian dan jangkitan baru yang terus-menerus meningkat membuktikan keadaan wabak H1N1 di negara ini semakin kritikal dan mencemaskan. AMK Selangor amat prihatin dengan nyawa rakyat yang semakin terancam jika tindakan lebih pantas dan drastik tidak diambil.

AMK Selangor juga mendesak sidang khas Parlimen membicarakan usul pelan khas menangani wabak H1N1 diadakan segera dalam masa terdekat. Sidang khas Parlimen ini amat penting untuk menilai sejauh mana keberkesanan tahap pencegahan selama ini dan pelan tindakan kecemasan yang perlu diambil segera. Menangguh masa yang lebih lama memberi ruang kepada wabak H1N1 untuk meragut dan mengancam nyawa dan kesihatan rakyat.

Dalam sidang khas Parlimen itu juga, AMK Selangor berharap wakil Parlimen sedia membawakan usul untuk mengadakan ‘Tabung Kecemasan Wabak H1N1’. Ianya bertujuan untuk menjaga kebajikan keluarga mangsa wabak ini dan juga untuk kebajikan pengurusan yang perlu ditanggung oleh ahli keluarga yang berhadapan masalah kewangan. Malahan tabung khas ini boleh diadakan segera tanpa menunggu sidang khas Parlimen.

Melihat kepada suasana perkembangan yang membimbangkan ini. AMK Selangor merasakan perlu dilaksanakan ‘gencatan politik’ . Justeru segala polemik politik yang tidak menguntungkan rakyat seperti pelan rampasan kuasa di Selangor, serangan politik sempit peribadi, fitnah-memfitnah dan politik adu-domba dapat dihentikan segera. Jika perlu pilihanraya kecil ditangguh sementara bagi memberi ruang semua pihak memberi fokus untuk menangani penularan wabak influenza A (H1N1).


Kita tidak perlu menunggu statistik kematian akibat wabak Influenza A (H1N1) ini sehingga mencecah angka ribuan kemudian baru untuk bertindak. Kenyataan yang dikeluarkan oleh Organisasi Kesihatan Dunia (WHO) bahawa antara 5,500 sehingga 28,000 orang boleh menjadi korban di negara ini. Maklumat ini sepatutnya sudah meletakkan semua pihak pada tahap kecemasan dan kesiapsiagaan pada paras tertinggi. Bencana besar ini semakin sukar ditangani jika kita perlahan dan lembab bertindak.

AMK Selangor berharap kerajaan membuat keputusan betul dan tepat pada saat yang amat genting ini. Kegagalan bertindak pantas,tepat dan sistematik pastinya mengundang korban nyawa rakyat yang lebih besar. Rakyat kini dalam situasi panik dan menuntut sesuatu langkah bersepadu dan drastik dilaksanakan segera.

Justeru, bertindak pantas sebelum kita terlewat membendung pandemik global yang kini mengancam jutaan nyawa manusia di seluruh dunia. Wabak Influenza A (H1N1) ini berpotensi menjadi sejarah korban wabak maut terburuk di abad ini. Semoga kita semua dilindungi daripada menjadi mangsa wabak yang semakin mengancam nyawa kita dan generasi masa hadapan.


Mohd Ezli Mashut
Ketua Penerangan
Angkatan Muda Keadilan Selangor