Kenyataan Media
Angkatan Muda Keadilan Selangor
Parti Keadilan Rakyat
25hb Ogos 2009
Siasat Segera Individu Dalam ‘Surat Misteri SPRM’
Angkatan Muda Keadilan Selangor menggesa agar diadakan siasatan segera berkenaan isi kandungan ‘Surat misteri SPRM’ yang kini didedahkan di media dan alam siber. Justeru pihak Suruhanjaya Siasatan Diraja yang telah ditubuhkan wajar diberikan tugas penting ini untuk memastikan siasatan bebas dapat dijalankan dan menyiasat individu-individu yang terbabit dalam kandungan ‘surat misteri SPRM’ tersebut.
Siasatan secara bebas perlu dilakukan memandangkan kredibiliti dan integriti SPRM terjejas teruk mutakhir kini. Dakwaan yang terkandung dalam ‘surat misteri SPRM’ amat berat dan serius kerana melibatkan individu-individu penting dan persoalan serta isu-isu yang timbul dengan kematian misteri Mendiang Teoh Beng Hock apabila ditemui tertiarap di Tingkat 5,Plaza Massalam ,Shah Alam yang juga menempatkan pejabat SPRM.
AMK Selangor yakin memanggil individu-individu yang terdapat dalam ‘surat misteri SPRM’ boleh mengembalikan keyakinan rakyat dan dunia antarabangsa terhadap imej dan integriti SPRM yang tercalar dan jatuh merudum. Selagimana tiada penyiasatan dilakukan maka persepsi masyarakat umum dan dunia antarabangsa akan terus melemparkan pandangan negatif kepada pihak SPRM,kerajaan dan negara. Imej negara perlu dipulihkan kerana masyarakat antarabangsa memandang dengan penuh serius dan serong integriti SPRM.
AMK Selangor juga berharap individu-individu yang menulis ‘surat misteri SPRM’ berani tampil ke hadapan atau membuat akuan bersumpah bagi membuktikan fakta dan kenyataan yang dikemukakan adalah benar dan tepat. Malahan jaminan perlindungan kepada individu-individu yang mempunyai maklumat yang boleh membantu siasatan dan juga para saksi perlu dijamin oleh pihak keselamatan negara yang menurut perintah secara terus daripada Yang DiPertuan Agong. Ia untuk memastikan para pemberi maklumat dan saksi tidak diganggu dan diancam oleh mana-mana pihak.
AMK Selangor berkeyakinan rakyat keseluruhannya akan memandang tinggi kredibiliti SPRM jika individu-individu yang mencemarkan nama baik SPRM disiasat oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja. Kita tidak mahu ada lagi menjadi mangsa menjadi korban akibat sebarang soal siasat yang diluar batas hak asasi kemanusiaan, prosedur dan perundangan serta ada percaturan kepentingan politik sempit.
Kita berharap isi kandungan ‘surat misteri SPRM’ diambil perhatian serius oleh pihak Suruhanjaya Siasatan Diraja. Jika fakta dan kenyataan adalah sahih dan tepat, tindakan paling tegas dan drastik perlu untuk mendakwa individu-individu ke muka pengadilan. Kita tidak mahu negara terus-menerus diselubungi dengan pelbagai kes misteri yang tidak terjawab dan terungkai.
Negara dan rakyat pastinya tidak mahu ada ‘pengkhianat amanah rakyat’ terus bebas melakukan pelbagai kerosakan dan kemusnahan kepada institusi penting dan nama baik negara ini. Memilih individu yang mampu, layak dan kompeten memegang amanah amat penting untuk memastikan keadilan ditegakkan dan keamanan disemarakkan.
Justeru, AMK Selangor mengulangi ketegasan bahawa jangan dibiarkan institusi penting negara dipergunakan untuk kepentingan politik sempit. Kita mahu negara ini benar-benar serius untuk memerangi gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Kita perlu akur dan belajar daripada sejarah bahawa kejatuhan tamadun-tamadun besar dunia adalah akibat tindakan segelintir para pemimpin dan rakyatnya yang rasuah dan menggunakan kuasa sewenang-wenangnya.
Mohd Ezli Mashut
Ketua Penerangan
Angkatan Muda Keadilan Selangor