KENYATAAN MEDIA
ANGKATAN MUDA KEADILAN SELANGOR
PARTI KEADILAN RAKYAT
05hb Ogos 2009
AMK Selangor Mengutuk Penggunaan Berlebihan Pasukan FRU, Gas Pemedih Mata dan Meriam Air Untuk Menyuraikan Perhimpunan Aman Rakyat
Angkatan Muda Keadilan Selangor menyuarakan kebimbangan terhadap penggunaan secara keterlaluan pasukan FRU , gas pemedih mata dan meriam air untuk menyuraikan sesuatu perhimpunan aman rakyat. Penggunaan pasukan FRU, gas pemedih mata dan meriam air terbukti hanya mewujudkan suasana kelam kabut, kacau bilau dan tidak menentu dalam sesuatu perhimpunan aman rakyat yang dianjurkan.
AMK Selangor menggesa pihak PDRM menilai semula SOP untuk menyuraikan sesuatu perhimpunan aman yang jelas berhimpun tidak membawa sebarang senjata dan menimbulkan kekacauan. Malahan PDRM digesa tidak menyebelahi mana-mana pihak daripada parti politik di negara ini dan tunduk kepada sebarang arahan dan tekanan yang bersifat politik. PDRM juga perlu mengkaji semula kelulusan pemberian permit yang jelas tidak lagi relevan pada masa kini.
Sudah tiba masanya, PDRM membina imej baru yang lebih professional dan berwibawa dalam menangani sesuatu perhimpunan aman rakyat. AMK Selangor melihat suasana kacau-bilau berlaku apabila pasukan FRU digunakan, melepaskan tembakan gas pemedih mata dan meriam air. Apakah PDRM tidak mempunyai sebarang alternatif lain yang lebih mesra rakyat dan menjadi pelindung kepada kebebasan berhimpun secara aman ?
Perhimpunan Aman GMI pada 1hb Ogos lepas akan berjalan baik dan lancar dalam masa singkat serta tidak mengganggu mana-mana pihak jika tiada sekatan jalan raya serta tangkapan rambang hampir 600 orang dalam perhimpunan tersebut. Malahan premis-premis perniagaan dan orang awam tidak akan terganggu langsung dengan perhimpunan aman tersebut jika pihak PDRM tidak menggunakan pasukan FRU, melepaskan gas pemedih mata dan menggunakan meriam air.
AMK Selangor yakin tahap kematangan para peserta perhimpunan aman kerana mereka berkumpul bukan untuk mencetuskan kekacauan dan keganasan. Malahan jika angka mencecah angka jutaan pun pastinya ianya akan memberi limpahan ekonomi dan keuntungan kepada kawasan sekitar tersebut. Bukan tidak pernah kawasan tersebut diadakan acara besar dan gemilang yang mencecah ratusan ribu orang serta ia dapat berjalan dengan baik dan lancar dengan bantuan khidmat pasukan PDRM dan lain-lain.
AMK Selangor menolak dakwaan perhimpunan aman hanya akan menyusahkan rakyat. Yang pasti sebarang perhimpunan aman tidak pernah menyusahkan kehidupan rakyat tetapi ianya menjadi pentas terbaik ruang demokrasi yang lebih terbuka dan memberi respon kepada sesuatu isu penting dan mendesak. Jika di jalanraya menjadi alasan kenapa ianya dikatakan tidak sesuai, apakah selama ini tiada acara-acara besar peringkat kebangsaan dan antarabangsa yang tidak pernah dijalankan di kawasan tersebut ?.
Di sini AMK Selangor menyenaraikan acara-acara besar seperti Sambutan Hari Kebangsaan, LTDL, perarakan kereta berhias, acara kebudayaan dan lain-lain lagi pernah dijalankan di kawasan tersebut. Malahan soal masa untuk perhimpunan menyerahkan memorandum ‘Mansuhkan ISA’ kepada Yang Dipertuan Agong di Istana Negara jika berjalan baik dan lancar tidak akan memakan masa lebih daripada satu jam. Justeru siapa dalang menjadikan perhimpunan aman ini menjadi kelam-kabut dan kacau bilau ?.
AMK Selangor juga membantah tangkapan rambang ke atas para peserta perhimpunan aman yang mencatatkan sejarah tangkapan antara yang tertinggi dalam jumlahnya untuk sehari. Di manakah janji-janji pembaharuan yang dilaung-laungkan oleh Perdana Menteri yang baharu untuk membuka ruang suara demokrasi yang lebih bebas dan telus ?.
Berkenaan dakwaan para peniaga dan premis perniagaan yang mengalami kerugian disebabkan perhimpunan aman ini perlu dinilai kebenarannya. Jika mereka mahu menyaman ke atas pihak penganjur GMI maka ianya juga perlu menyelitkan saman mereka bersama kepada pihak PDRM dan kerajaan Malaysia atas arahan pemimpin Barisan Nasional yang membuat sekatan jalan-raya serta pasukan FRU yang melepaskan gas pemedih mata dan penggunaan meriam air.
Justeru kita menggesa tiada pihak yang cuba menjadi hero yang kononnya membela nasib golongan peniaga ini sedangkan siapa yang menjadi punca sebenarnya memenjarakan kebebasan bersuara dan berhimpun secara aman. Rakyat kini lebih celik dan pintar dan tidak mudah diperkotak-katikkan oleh propaganda politik murahan yang jelas ada segelintir pihak takut kehadiran angka besar yang menyokong tuntutan untuk dimansuhkan ISA ini.
AMK Selangor berharap pihak PDRM selepas ini memikirkan cara dan pendekatan yang lebih bijak dan professional serta dapat memberikan kerjasama untuk menjayakan sesuatu perhimpunan aman berjalan dengan sangat baik dan lancar tanpa mengganggu gugat keamanan dan ketenteraman. AMK Selangor yakin kehadiran jutaan rakyat ditempat terbuka seperti di jalan raya pada sesuatu masa tidak akan mencetuskan kekacauan kerana rakyat negara ini sudah matang dan merdeka lebih 50 tahun. Justeru kematangan dan kebijakan rakyat tidak perlu dipertikaikan lagi.
Akhirnya, AMK Selangor sekali lagi mengharapkan selepas ini sebarang perhimpunan aman yang dianjurkan oleh mana-mana pihak akan berjalan baik dan lancar serta tiada lagi penggunaan gas pemedih mata dan meriam air. Semoga pada masa akan datang, perhimpunan aman akan menjadi satu lagi tarikan baru limpahan ekonomi untuk semua. Yang penting mesej yang ingin disampaikan oleh pihak penganjur mencapai matlamat dan diambil perhatian dan ditegaskan di sini bahawa perhimpunan aman rakyat tidak pernah menyusahkan rakyat.
Mohd Ezli Mashut
Ketua Penerangan
AMK Selangor