Jumaat, 21 Ogos 2009

21hb Ogos 1969 – 2009 : Mengenang 40 Tahun Nasib Masjid Al-Aqsa Dibakar oleh Pengganas Zionist Israel.

21hb Ogos 1969 – 2009 : Mengenang 40 Tahun Nasib Masjid Al-Aqsa Dibakar oleh Pengganas Zionist Israel.

Oleh : Mohd Ezli Mashut

18hb Ogos 2009

LL.B (Hons) UIAM

Blog:www.ezli007.blogspot.com

40 tahun lalu pada 21hb Ogos 1969, umat Islam seluruh dunia tersentak daripada lamunan panjang. Dunia menyaksikan bagaimana kekejaman Zionist Israel membakar Masjid Al-Aqsa yang merupakan masjid ke-3 yang paling dihormati dan suci selepas Masjidil Haram dan Masjid Nabawi. Penjenayah dan pengganas yang membakar Masjid Al-Aqsa didalangi sendiri oleh pengganas Zionist Israel.

Hari ini sebenarnya ancaman terhadap keselamatan Masjid Al-Aqsa belum lagi terjamin. Penerokaan dan carigali di bawah tanah Masjid Al-Aqsa masih giat dilakukan. Misi utama pengganas Zionist Israel ini adalah untuk memastikan Masjid Al-Aqsa runtuh menyembah bumi dengan faktor-faktor semulajadi akibat gegaran yang disebabkan oleh gempa bumi atau kejadian alam yang lain.

Beberapa kali juga percubaan dan rancangan oleh pengganas Zionist untuk memusnahkan Masjid Al-Aqsa dilakukan. Pada 27th Januari 1982, adanya percubaan untuk meletupkan masjid ini namun rancangan ini terbongkar dan gagal. Pada Julai 2008, pihak keselamatan Israel ada mendedahkan berkenaan rancangan sekumpulan pengganas Yahudi untuk memusnahkan masjid ini melalui serangan udara menggunakan pesawat tanpa pemandu atau Drone. Hasrat pengganas Zionist Israel ini tidak pernah padam dan akan terus-menerus merancang dan berusaha bagi memastikan hasrat impian mereka menubuhkan ‘Israel Raya’ tercapai.

Peristiwa hitam 21 Ogos 1969 perlu diingati oleh semua.Mungkin ada generasi muda umat Islam kini lupa tarikh hitam tersebut.Ataupun mereka tidak pernah mendengar dan mengetahui tragedi hitam ini. Mereka mudah mengingati peristiwa seperti Valentine Day dan yang tidak ada kena mengena dengan sejarah perjuangan ummah. Kisah bagaimana konspirasi dan perancangan jahat Zionist Israel yang tidak henti-henti melakukan kekejaman dan kerosakkan di dunia adalah amat penting untuk difahami.

Dennis Michael Rohan merupakan individu yang dipercayai menjadi dalang dalam pembakaran Masjid Al-Aqsa. Namun beliau sebenarnya tidak berupaya untuk melaksanakan perancangan jahat ini secara individu jika tidak mendapat restu dan mandat oleh kerajaan haram Zionist Israel. Dia didakwa membakar Masjid Al-Aqsa kerana untuk memastikan kuil Yahudi akan dibina semula di situ. Pihak Zionist Israel mendakwa Dennis Michael Rohan adalah rakyat Australia namun kini beberapa pihak mendakwa sebenarnya dia adalah warga Yahudi Israel.

Umat Islam di seluruh dunia perlu ingat tarikh penting peristiwa hitam ini. Perpecahan dan konflik sesama sendiri memudahkan misi pihak Zionist Israel memperkotak-katikkan umat Islam di seluruh dunia. Umat Islam diperlecehkan dengan persoalan dan isu remeh-temeh dan bergaduh sesama sendiri menyebabkan umat Islam kehilangan fokus utama siapakah musuh yang perlu ditentang dan dihadapi secara agresif dan habis-habisan. Kita umat Islam seakan-akan mudah diprovokasi oleh pihak musuh yang tidak berhenti-henti untuk memecahbelahkan kesatuan umat Islam sedunia.

Kita bagaikan lebih rela menghalakan senjata,fitnah dan aib kepada saudara seagama kita sendiri. Kita lebih gembira melihat saudara kita sendiri dianiaya,dizalimi dan dibantai habis-habisan oleh pihak yang dahulu,kini dan selamanya memusuhi umat Islam. Sejarah pasca kejatuhan khalifah Islamiyah pada 1921,musnahnya negara Palestin dan terbinanya negara haram Israel menyaksikan negara-negara Islam semakin lemah dan terkebelakang daripada semua bidang. Persenjataan negara-negara Islam juga tumpul dan langsung tidak berupaya menggerunkan kuasa besar dunia Amerika Syarikat dan sekutunya.

Maka tidak hairan bagaimana mereka meneruskan misi imperialisme dan penjajahan terhadap negara-negara Islam satu persatu. Malah kemusnahan yang ditinggalkan terhadap negara-negara yang mereka jajah tidak pernah lekang daripada menikmati suasana keamanan. Letupan bom dan korban jiwa berlaku saban hari menjadikannya sebuah negara porak-peranda,anarki dan kacau bilau. Hasrat mereka adalah untuk terus melumpuhkan kekuatan umat Islam daripada bangkit dan membina kemajuan sejagat.

Inilah sebenarnya gerombolan bangsa Yakjuj dan Makjuj yang sudah keluar daripada tirai tembok besi binaan Iskandar Zulkarnain.Bangsa pemusnah tamadun dan perosak keemanan dunia ini telah pun keluar dan kini giat melakukan kerosakkan dan kemusnahan terhadap dunia. Apakah umat Islam tidak melihat realiti yang mereka hadapi kini. Permusuhan dan adu-domba yang mereka cetuskan di seluruh dunia adalah untuk memastikan kesatuan umat Islam terus hancur dan berkecai.

Apakah umat Islam tidak mampu bangkit daripada kelemahan ini ? Berapa lamakah lagi umat Islam boleh bertahan dan melihat saudara seagama dan sesama manusia dibunuh dan dikeromok oleh bangsa Yakjuj dan Makjuj ini ? Apakah sudah hilang dalam hati umat Islam terhadap kesedaran membina persaudaraan dan kesatuan ummah ? Berapa lamakah lagi kita sanggup melihat satu demi satu negara Islam di musnah dan dihancurkan ?

Persoalan besar ini yang perlu dijawab dan dirungkai secara bersama. Kita perlu mencari titik persamaan bersama seluruh kerangka dunia Islam. Kita perlu membina kekuatan dan kesatuan Ummah yang semakin hari semakin terhakis lantaran sikap dan kelemahan umat Islam sendiri. Kita masih tidak mampu memandang jauh ke hadapan persoalan besar ummah yang perlu dihadapi dan ditangani. Kita juga amat memerlukan pemimpin dunia Islam yang bukan sekadar hebat dan berkarisma tetapi kehebatan taqwa dan akhlaknya.

Sempena 21hb Ogos 2009, mengimbau 40 tahun tragedi hitam yang menimpa Masjid Al-Aqsa. Marilah kita yang diambang bulan Ramadan mempertingkatkan kesatuan ummah kita sedunia. Masa untuk kita bebaskan kembali Masjid Al-Aqsa semakin suntuk. Kita sudah tiada masa membicarakan soal remeh temeh,perkelahian sesama sendiri, jatuh-menjatuh,fitnah dan adu domba. Kita perlu bangun dan bangkit. Merangka gagasan besar untuk kita bebaskan Masjid Al-Aqsa daripada cengkaman Zionist Israel.

Harapan kita agar pada tahun 2022 atau 1444 hijrah,kita dapat bersama-sama solat berjemaah di Masjid Al-Aqsa yang telah kembali ke naungan pemimpin Islam dan dunia Islam. Insya Allah…bilakah lagi… bila kita satu hati…