Isnin, 31 Ogos 2009

Kita Humban Politik Sempit Perkauman

Kenyataan Media

Angkatan Muda Keadilan Selangor

Parti Keadilan Rakyat

31hb Ogos 2009

Kita Humban Politik Sempit Perkauman

Angkatan Muda Keadilan Selangor membidas pihak-pihak dan dalang bantahan yang mencetuskan sentimen keagamaan dan kaum yang berlaku mutakhir kini. Terbaru tindakan kumpulan yang membawa kepala lembu sebagai tanda bantahan dan protes terhadap isu pemindahan kuil ke Seksyen 23 adalah dibidas sama sekali. AMK Selangor menegaskan dalam ajaran Islam sendiri tindakan menghina agama-agama lain amat dilarang keras sama sekali. Tindakan tersebut amat jelas bertentangan dengan ajaran Islam yang menekankan konsep tiada paksaan dalam beragama.

AMK Selangor mengajak rakyat agar bertenang dalam isu sensitif ini untuk mengelakkan suasana lebih buruk dan meruncing. AMK Selangor menggesa pihak PDRM agar mengambil tindakan tegas terhadap perbuatan menghina agama lain yang boleh mengancam keharmonian beragama dan kaum di negeri ini.

AMK Selangor juga menegaskan isu pemindahan kuil ke Sekyen 23 tersebut masih boleh diselesaikan secara bijak dan baik oleh semua pihak. Malahan Kerajaan Negeri Selangor sendiri menunjukkan sikap keterbukaan dan ruang untuk semua menyatakan pandangan dan pendapat masing-masing. Namun tindakan membawa kepala lembu sebagai tanda protes dalam isu ini amat dikesali oleh semua pihak.

AMK Selangor juga berharap isu sensitif ini dapat diselesaikan dengan baik dalam masa terdekat. Justeru semua pihak diharap tidak terikut-ikut emosi yang boleh mengancam keharmonian dan perpaduan berbilang bangsa dan agama. Malahan kebebasan beragama dan mengamalkan kepercayaan masing-masing sudah terjamin dalam perlembagaan negara dan semua diharap akur dengan keluhuran perlembagaan negara yang sudah termaktub.

Selamat menyambut Kemerdekaan ke-52.

Khairul Anuar Bin Ahmad Zainuddin

Ketua AMK Selangor