Ahad, 31 Januari 2010

AMK Selangor Desak Kerajaan Persekutuan Agar Mandat Rakyat Selangor Dihormati

Kenyataan Media

Angkatan Muda Keadilan Selangor

Parti Keadilan Rakyat

1hb Februari 2010

AMK Selangor Desak Kerajaan Persekutuan Agar Mandat Rakyat Selangor Dihormati

Angkatan Muda Keadilan Selangor menuntut agar kerajaan UMNO/BN di peringkat persekutuan menghormati mandat rakyat Selangor yang telah memilih Pakatan Rakyat pada PRU-12 lepas. Justeru, AMK Selangor menggesa agar kerajaan persekutuan menghormati konsep federalisme yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. AMK Selangor mengulangi desakan agar kerajaan persekutuan bersikap professional berkenaan soal peruntukan dan geran pembangunan yang telah termaktub.

AMK Selangor juga berharap kerajaan persekutuan tidak mensabotaj sebarang usaha untuk membawa pelaburan asing atau FDI ke Selangor. Kita berharap usaha giat membawa pelaburan asing ke Selangor dapat memperbaiki kedudukan ekonomi negara yang kini masih memerlukan pemulihan dan suatu usaha bersepadu kerajaan persekutuan dan negeri.

Suara pilihan rakyat dalam PRU-12 perlu dihormati. Justeru kerajaan persekutuan di bawah UMNO/BN tidak menganaktirikan negeri-negeri di bawah Pakatan Rakyat jika pimpinan persekutuan mempunyai jiwa besar memajukan negara. Kita tidak mahu ada usaha-usaha mana-mana menteri persekutuan menghalang mana-mana agensi kerajaan persekutuan untuk berbincang dan bertukar-tukar kepakaran bersama agensi di bawak kerajaan negeri Selangor.

AMK Selangor juga menggesa agar tiada kekangan dan sekatan peruntukan geran pembangunan yang sepatutnya disalurkan kepada kerajaan Selangor dilencongkan menggunakan apa jua alasan yang tidak professional dan terkongkong dalam persepsi politik sempit. Kita menggesa agar kerajaan persekutuan menghentikan sebarang usaha yang cuba mengganggu-gugat kerajaan Selangor disebabkan perbezaan dan pandangan politik.

Kita tidak mahu apa yang berlaku akibat rampasan kuasa di Perak. Kemelut tersebut berpanjangan sehingga kini yang menjejaskan keyakinan pelabur asing terhadap kestabilan politik dan ekonomi negara. AMK Selangor bertekad mempertahankan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor daripada sebarang usaha untuk merampas kembali Selangor melalui taktik kotor dan tidak melalui sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini. Usaha-usaha untuk mencetuskan suasana tegang antara agama dan kaum di negara ini oleh pihak-pihak yang ingin menghancurkan keharmonian dan kasih sayang antara rakyat perlu ditolak habis-habisan.

AMK Selangor berharap kekuatan ekonomi negara perlu dipulihkan segera. Maka tiada jalan lain melainkan kerjasama strategik antara kerajaan persekutuan dan negeri dalam usaha memakmurkan ekonomi perlu digerakkan secara bersepadu bersama. Perbezaan politik tidak wajar menjadi tembok besi penghalang ke arah untuk membawa kemajuan dan kemakmuran ekonomi bersama.

Kerajaan persekutuan perlu menyedari, Malaysia semakin hilang tarikan para pelabur asing jika tiada usaha-usaha drastik memperkukuh kerjasama membawa pelabur asing tulen. Malahan usaha menaiktaraf industri tempatan sedia ada perlu ditingkatkan agar industri tempatan mampu menyediakan peluang pekerjaan di negara ini serta mampu ke peringkat global.

Justeru, AMK Selangor menyakini kerajaan persekutuan perlu akur untuk terus bersama-sama kerajaan Selangor memacu ekonomi negara ini. Penasihat Ekonomi Kerajaan Selangor, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang mempunyai kekuatan dan kepakaran tersendiri adalah aset besar negara yang mampu memberi impak besar kepada perubahan ekonomi untuk kesejahteraan rakyat.

Kita mengharapkan agar kerajaan persekutuan yang diterajui oleh UMNO/BN bersedia dan berlapang dada untuk tidak menghalang usaha mana-mana agensi peringkat persekutuan untuk bersama-sama agensi di peringkat negeri bersama-sama duduk menyelesaikan isu secara kolektif dan tuntas. Kita amat berharap agar tiada menteri-menteri di peringkat persekutuan akibat perbezaan pandangan politik menghalang penjawat awam dan kakitangan kerajaan melaksanakan tugas dengan penuh professional untuk negara dan rakyat.

Akhirnya,diulangi ketegasan oleh AMK Selangor agar mandat rakyat di Selangor ini terus dihormati . Suara rakyat Selangor adalah suara keramat.

Mohd Ezli Mashut

Ketua Penerangan

AMK Selangor