Ahad, 21 Februari 2010

RM 5 Billion Pulih Rumah Terbengkalai,Bukti Kerajaan Selangor Komited Membela Nasib Rakyat

Kenyataan Media

Angkatan Muda Keadilan Selangor

Parti Keadian Rakyat

21hb Februari 2010

RM 5 Billion Pulih Rumah Terbengkalai,Bukti Kerajaan Selangor Komited Membela Nasib Rakyat

Angkatan Muda Keadilan Selangor amat mengalu-alukan pengumuman Kerajaan Negeri Selangor untuk menyediakan RM5 bilion bagi memulihkan projek perumahan terbengkalai.Manfaat ini akan dinikmati oleh lebih 50,000 buah rumah dan ini akan memberi impak positif kepada pertumbuhan ekonomi di Selangor.

AMK Selangor menyakini pakej rangsangan ekonomi kerajaan negeri Selangor yang kian rancak dilaksanakan mampu membawa Selangor berhadapan dengan cabaran ekonomi yang masih malap dan samar-samar. Malahan dengan keprihatinan kerajaan negeri Selangor ini masalah warisan daripada kerajaan Barisan Nasional terdahulu yang gagal menangani masalah perumahan rakyat terbengkalai dapat diatasi dengan segera.

Kita percaya selepas ini kerajaan negeri Selangor mempunyai pelan rancangan mereka sendiri untuk menarik pelaburan ke negeri di mana Penasihat Ekonomi Kerajaan Selangor, Dato’ Seri Anwar Ibrahim merupakan magnet yang mampu menarik pelaburan luar negara. Suasana iklim seperti ini diharap tidak cuba disabotaj oleh pihak-pihak lain yang merasa mereka cemburu dengan keupayaan dan prestasi mengkagumkan kerajaan Pakatan Rakyat memacu dan membawa pembaharuan ekonomi yang lebih merakyatkan dan adil untuk semua.

AMK Selangor mohon mempertimbangkan kepada kerajaan negeri Selangor agar memberi perhatian dan fokus kepada pemilikan rumah mampu milik kepada generasi muda. Ia amat perlu kerana generasi muda yang baru memulakan kehidupan berkeluarga berhadapan dengan situasi sukar untuk memiliki rumah kerana faktor-faktor ekonomi keluarga yang belum mantap dan stabil. Kita yakin jika usaha ini dilaksanakan kelak, generasi muda mampu membina kehidupan awalnya dengan lebih bahagia disamping membentuk keluarga yang harmoni.

AMK Selangor yakin pembelaan rakyat seperti ini yang ditunggu rakyat keseluruhannya. Program yang memberi nilai tambah kepada kualiti hidup rakyat perlu menjadi keutamaan penting dalam menjana kemakmuran ekonomi untuk kesejahteraan semua.

Mohd Ezli Mashut

Ketua Penerangan

Angkatan Muda Keadilan Selangor