Khamis, 16 September 2010

Ketua Polis Negara Baru Digesa Bebas Pengaruh KDN

Kenyataan Media

Angkatan Muda Keadilan Selangor

Parti Keadilan Rakyat

16 September 2010

Ketua Polis Negara Baru Digesa Bebas Pengaruh KDN

Angkatan Muda Keadilan Selangor menyatakan harapan tinggi agar Ketua Polis Negara yang baru,Tan Sri Ismail Omar menunjukkan ketegasan dan komitmen untuk tidak tunduk kepada pengaruh daripada mana-mana pihak.

Sebelum ini,bekas Ketua Polis Negara,Tan Musa Hassan mengeluarkan kenyataan mengejutkan bahawa wujudnya campur tangan daripada Kementerian Dalam Negeri dalam urusan PDRM.

Justeru,AMK Selangor berharap di bawah kepimpinan Ketua Polis Negara yang baru,imej dan professionalisme PDRM dapat dipertingkatkan lantaran sebelum ini kewibawaan dan professionalisme PDRM dalam beberapa perkara dipertikaikan pelbagai pihak.

AMK Selangor menggesa rakyat dan PDRM bersama-sama memerangi jenayah yang semakin membimbangkan dan menakutkan.Kes pembunuhan Datuk Sosilawati dan 3 individu yang lain merupakan insiden tragis yang tidak patut berulang lagi.

AMK Selangor mencadangkan agar aspek pendidikan pencegahan jenayah diperluaskan dan diberi perhatian sejak bangku sekolah lagi bagi memberi penerangan agar masyarakat dapat membentuk jaringan keselamatan bagi mengelakkan menjadi mangsa jenayah.

AMK Selangor juga berharap kerajaan meneruskan komitmennya dalam aspek penurunan jenayah dengan melaksanakan dasar dan polisi berkesan menangani peningkatan kadar jenayah.

Kita yakin rakyat keseluruhannya memberikan sokongan dan dokongan padu kepada PDRM dalam usaha pembanterasan jenayah dan hubungan baik antara rakyat dan pihak polis dipertingkatkan.

Mohd Ezli Mashut

Ketua Penerangan

AMK Selangor