Sabtu, 2 Mei 2009

03 MEI : HARI KEBEBASAN AKHBAR SEDUNIA


Kenyataan Akhbar

ANGKATAN MUDA KEADILAN SELANGOR

PARTI KEADILAN RAKYAT

02hb Mei 2009

Sempena 03hb Mei – Hari Kebebasan Akhbar Sedunia

        Angkatan Muda Keadilan Selangor sempena 3hb Mei 2009 ini mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kebebasan Akhbar Sedunia kepada semua lapisan warga kerja dalam industri yang penting ini di negara ini.

        AMK Selangor juga mengucapkan jutaan terima kasih dan setinggi penghargaan kepada semua pihak wartawan, media massa , pengamal media kerana memberi ruang dan liputan kepada pihak AMK Selangor selama ini.

        Dalam pada itu, AMK Selangor menggesa pihak kerajaan supaya kedudukan indeks kebebasan akhbar Malaysia dapat diperbaiki kerana menurut World Press Freedom Index 2008 yang dikeluarkan, Malaysia berada di kedudukan ke-132. Perkembangan pertukaran kuasa kepada Perdana Menteri Baru,Dato Seri Mohd Najib Tun Razak amat membimbangkan kerana indeks yang dikeluarkan akan kembali jatuh merudum jika gaya dan pendekatan kepada prinsip kebebasan akhbar di negara ini terus bersikap menekan, mengancam dan mengugut.

        AMK Selangor juga menggesa kepada akhbar-akhbar di negara ini terus memainkan peranan penting dalam membina budaya intelektual yang tinggi dan professional. Malahan AMK Selangor merasakan sudah tiba masanya akhbar-akhbar arus perdana di negara ini membuat anjakan paradigma dalam laporannya yang lebih tepat,telus dan professional.

        AMK Selangor mendesak agar akta-akta seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, Akta Hasutan dan pelbagai akta-akta lain yang sudah tidak lagi relevan pada masa kini dimansuhkan. Malahan kerajaan perlu bersifat terbuka dengan tidak menggunakan akta-akta yang lapuk ini untuk terus-menerus menggertak dan menakut-nakutkan akhbar untuk membuat laporan yang telus dan berani.

        AMK Selangor berharap selepas ini tiada lagi rampasan akhbar-akhbar, ancaman penarikan permit penerbitan, penggunaan ISA kepada para wartawan dan juga laporan sebelah pihak akhbar-akhbar arus perdana yang selama ini cuba menimbulkan sentimen panas perkauman dan sempit. Malahan peranan akhbar di negara ini amat penting untuk membina daya intelektual rakyat yang tinggi dan membawa perubahan arus informasi.

        Akhirnya,sempena 3hb Mei ini AMK Selangor berharap konsep kebebasan akhbar di negara ini membawa satu harapan baru untuk membawa perubahan minda rakyat Malaysia ke arah menghayati rakyat bertamadun tinggi di peringkat global.

Mohd Ezli Mashut

Ketua Penerangan AMK Selangor

017-6543974 / email :ezli007@hotmail.com