Kenyataan Akhbar
Angkatan Muda Keadilan Selangor
Parti Keadilan Rakyat
28hb Mei 2009
Generasi Anak Muda Disaran Menghayati Karisma Dan Kehidupan Sultan Muhammad Al-Fateh.
Angkatan Muda Keadilan Selangor menyarankan agar generasi anak muda menghayati kembali kehidupan dan perjuangan Sultan Muhammad Al-Fateh. 29hb Mei 2009 ini,genap 556 tahun kejayaan Sultan Muhammad Al-Fateh membuka Kota Konstantinapol atau Istanbul pada 29hb Mei 1453 masihi selepas hampir 800 tahun peristiwa penting ini diucapkan oleh Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W.
AMK Selangor menggesa ahli AMK serta generasi muda tanpa mengira agama dan bangsa menghayati kisah perjuangan besar dan karismatik Sultan Muhammad Al-Fateh melalui pembacaan dan diskusi ilmiah. Kejayaanya membuka Kota Konstantinapol ketika usianya 23 tahun wajar menjadi iktibar dan pencetus inspirasi kepada generasi anak muda masa kini dalam membawa harapan baru untuk masa hadapan negara ini.
Banyak kisah dan tauladan yang boleh diambil dalam membina karektor kepimpinan dan membina rakyatnya yang mempunyai akhlak yang tinggi dan hebat sehingga menjadi sebuah satu pasukan pembina negara yang hebat dan menjadi bualan sehingga kini. Belum pernah berlaku dalam sejarah bagaimana 70 buah kapal laut boleh belayar di daratan melalui bukit-bukau sejauh 5 kilometer. Generasi muda Malaysia wajar belajar budaya inovasi dan kreativiti untuk memimpin negara dan dunia.
Baginda sentiasa bersifat tawadhu' dan rendah diri . Semasa membina Benteng Rumeli Hissari, Baginda membuka baju dan serbannya, mengangkat batu dan pasir hingga ulamak-ulamak dan menteri-menteri terpaksa ikut sama bekerja. Contoh kepimpinan ini wajar dihayati oleh semua lapisan generasi muda masa kini.
AMK Selangor menyarankan agar kisah kepimpinan hebat Sultan Muhammad Al-Fateh ini dapat dibaca,diulas dan dibincangkan untuk membina keperibadian dan kepimpinan yang unggul kepada seluruh ahli AMK dan generasi muda. ‘Menjadi pemimpin terbaik dan memimpin rakyat dan tentera terbaik’ merupakan satu cabaran generasi kepimpinan muda masa kini untuk membawa Malaysia ke arah sebuah negara yang hebat di masa hadapan.
Dengan menghayati dan menyemai nilai-nilai yang hebat ini. Maka diharap generasi anak muda masa kini yang disempitkan dengan isu ‘Mat Rempit’ dan kepincangan sosial dapat membawa satu anjakan paradigma baru dalam konteks membawa kecemerlangan Malaysia. AMK Selangor amat mengalu-alukan penyertaan aktif generasi anak muda dalam denyut nadi perubahan siasah di negara ini. Malahan penyertaan generasi muda khususnya lepasan institusi pengajian tinggi dan sekolah amat penting dalam membawa kesinambungan kepimpinan ke arah kecemerlangan negara.
AMK Selangor juga berharap penglibatan aktif generasi muda dalam semangat membawa kecemerlangan negara mendapat suntikan dan semangat daripada kepimpinan negara dan negeri. Justeru generasi muda perlu diberi ruang dan peluang untuk mereka menunjukkan skil dan daya inovasi dan kreativiti dalam semua bidang di negara ini. Malahan dengan ruang dan suasana positif ini generasi muda boleh melangkah jauh sehingga ke peringkat global.
AMK Selangor berharap media massa memberi imej positif kepada generasi muda di negara ini. Imej seperti Mat Rempit yang disinonimkan dengan generasi muda masa kini hanya imej tempelan negatif dan tidak banyak membantu satu gerakan baru generasi muda di negara ini.
AMK Selangor menggesa kerajaan pusat dan negeri melaksanakan pelan pembangunan insan generasi muda dengan lebih giat dan komited. Kerajaan juga wajar memberi perhatian kepada pembangunan insan kepada anak muda yang keciciran pendidikan sekolah dan tinggi serta yang berada di kilang-kilang dan bekerja sendiri. AMK Selangor yakin jika aset penting ini dibangunkan dengan baik maka kita dapat melihat masa hadapan negara yang lebih cemerlang dan hebat dapat direalisasikan.
Akhirnya, AMK Selangor menggesa agar generasi anak muda menghayati kembali sejarah hidup pemimpin hebat Sultan Muhammad Al-Fateh dan pemimpin besar lain agar inspirasi ini mampu membawa negara untuk menjadi pencetus tamadun baru di masa hadapan. Generasi anak muda adalah pencetus dan pembaharuan kepada harapan baru Malaysia di masa hadapan.
Mohd Ezli Mashut
Ketua Penerangan AMK Selangor