KENYATAAN AKHBAR
ANGKATAN MUDA KEADILAN SELANGOR
PARTI KEADILAN RAKYAT
28hb Mei 2009
AMK SELANGOR GESA KERAJAN UNTUK BAWA BALIK SEGERA PENYIASAT PERSENDIRIAN BALASUBRAMANIAM A/L PERUMAL
Angkatan Muda Keadilan Selangor menggesa agar pihak kerajaan dan PDRM membawa seberapa segera penyiasat persendirian Balasubramaniam a/l Perumal yang masih berada di luar negara. Gesaan ini adalah untuk membantu siasatan berkenaan kes pembunuhan Altantuya Shaaribuu melalui Akuan Bersumpah bertarikh 1hb Julai 2008.
AMK Selangor juga mempertikaikan tindakan pantas pihak kerajaan yang begitu cepat meminta bantuan Interpol untuk mengesan dan membawa pulang Raja Petra Kamaruddin yang berada di luar negara sedangkan dalam isu akuan bersumpah Balasubramaniam seolah-olah tiada berita dan perkembangan terkini.
AMK Selangor juga membidas pihak-pihak tertentu yang mempolitikkan isu mengenai kembalinya ancaman Parti Komunis Malaya (PKM) berkaitan membawa pulang bekas Ketua PKM ke Malaysia. AMK menganggap isu ini ditumbulkan hanya strategi politik desperado sesetengah pihak UMNO/BN yang berusaha membakar hati dan perasaan bekas anggota keselamatan,keluarga dan rakyat Malaysia untuk menyokong kembali UMNO/BN yang semakin hilang sokongan dan dokongan rakyat Malaysia.
Malahan AMK Selangor melihat perkembangan ini hanya mainan politik pihak-pihak tertentu untuk mengembalikan sokongan rakyat setelah isu-isu berkenaan ketuanan Melayu, DEB, sensitiviti umat Islam,liberalisasi perdagangan dan konsep Satu Malaysia jelas gagal untuk mengembalikan sokongan rakyat kepada pihak UMNO/BN.
AMK Selangor menggesa kerajaan semasa agar memberikan penumpuan dan fokus khas kepada pemulihan dan pembaharuan ekonomi. Laporan terkini berkenaan KDNK negara serta data dan statistik ekonomi negara yang tidak memberangsangkan perlu diambil perhatian dan tindakan perlaksanaan yang pantas.
Dalam isu untuk siapa yang perlu dibawa pulang dengan segera pada ketika ini. AMK Selangor berharap penyiasat persendirian Balasubramaniam perlu dibawa pulang segera oleh kerajaan kerana akuan bersumpah yang pernah dibuatnya melibatkan individu yang sangat penting negara ini. Justeru AMK menganggap semakin melambatkan tindakan untuk membawa pulang selama itu juga nama baik individu yang sangat berprofil tinggi itu terus tercemar di peringkat nasional dan antarabangsa.
Akhirnya, AMK Selangor berharap isu membawa pulang bekas ketua PKM ini tidak menjadi satu lagi isu sensasi politik pihak-pihak tertentu yang semakin hilang dan sokongan rakyat. Amat jelas isu ini sudah lama selesai dan tidak perlu ditimbulkan semula lagi. Kini rakyat Malaysia lebih bijak dan pintar dalam menganalisis sesuatu isu melalui perkembangan semasa revolusi maklumat global.
Khairul Anuar Bin Ahmad Zainuddin
Ketua AMK Selangor