Isnin, 13 Julai 2009

AMK BANTAH TANGKAPAN TERBARU TERHADAP 2 AKTIVIS DEMA

KENYATAAN MEDIA

ANGKATAN MUDA KEADILAN SELANGOR

PARTI KEADILAN RAKYAT

13hb Julai 2009

AMK BANTAH TANGKAPAN TERBARU TERHADAP 2 AKTIVIS DEMA

Angkatan Muda Keadilan Selangor membantah tangkapan terhadap dua aktivis DEMA yang didakwa menceroboh ke Universiti Malaya pada malam tadi. AMK difahamkan kedua-dua aktivis tersebut iaitu Ong Jing Cheng dan Yap Heng Long telah ditahan di Balai Polis Pantai untuk disoal siasat.

AMK membidas tindakan terbaru ini yang jelas bermotifkan politik sempit dan cuba membawa budaya menakut-nakutkan gerakan anak muda yang semakin lantang untuk menyatakan hak dan pendirian yang tegas dan berbeza. Justeru AMK mendesak agar kedua-dua aktivis tersebut dibebaskan serta merta dan tanpa sebarang tindakan pendakwaan.

AMK merasakan situasi kini menggamparkan seolah-olah suasana pentadbiran baru Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak tidak membawa perubahan dinamik untuk menyantuni gerakan anak muda yang dilihat berbeza pandangan dan fikrah. Sewajarnya pihak kerajaan sudah tiba masanya memberikan ruang untuk anak muda menyatakan idea dan pendapat walaupun ianya dilihat berbeza dan anti-establishment.

Malahan tindakan terhadap penangkapan dan dakwaan mahkamah terhadap mahasiswa Universiti Malaya baru-baru ini juga menggambarkan seolah-olah golongan gerakan anak muda semakin dimusuhi oleh pihak-pihak tertentu. AMK menyatakan pendirian ini kerana sepatutnya gerakan anak muda di negara ini diberi pandangan dan pengiktirafan kerana suara mereka adalah gema pembaharuan dan persediaan menjadi pemimpin masa akan datang.

Akhirnya, AMK sekali lagi membuat desakan agar tindakan penangkapan terbaru dua orang aktivis DEMA ini adalah episod yang terakhir. Mengulangi kembali tindakan seumpama ini adalah gambaran jelas bahawa pimpinan baru di bawah Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak bahawa gerakan anak muda semakin hilang kebebasan menyatakan pandangan dan pendapat. Situasi ini akhirnya dibimbangi membawa negara ke situasi yang semakin parah dalam nilai keterbukaan dan ruang lingkup demokrasi.

Angkatan Muda Keadilan Selangor