Rabu, 29 Julai 2009

ANAK MUDA DIGESA TURUN BERAMAI-RAMAI PADA SABTU, 1hb OGOS INI.


KENYATAAN MEDIA

ANGKATAN MUDA KEADILAN SELANGOR
PARTI KEADILAN RAKYAT

29hb JULAI 2009

Untuk Edaran Dengan Segera

ANAK MUDA DIGESA TURUN BERAMAI-RAMAI PADA SABTU, 1hb OGOS INI.

Angkatan Muda Keadilan Selangor menggesa seluruh anak muda di Selangor dan Kuala Lumpur untuk bersama-sama melakar sejarah baru siasah negara pada hari Sabtu bersamaan 1hb Ogos 2009 ini. Pada tarikh penting tersebut kehadiran pelbagai lapisan rakyat khususnya generasi anak muda untuk membanjiri bandaraya Kuala Lumpur terlalu penting demi masa hadapan dan survival negara ini.

Detik waktu itu adalah usaha penting ke arah mendesak kerajaan agar menghapuskan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Justeru kehadiran generasi anak muda pada kapasiti yang amat besar diperlukan agar ianya menjadi bukti konkrit bahawa akta ISA ini mesti dimansuhkan segera.

Menyedari realiti ini,AMK Selangor mengajak generasi anak muda di Lembah Klang ini membuktikan pada tarikh itu suara keramat rakyat dan anak muda akan berkemundang ke seluruh dunia. Kita mahu dunia mengetahui bahawa selama ini Akta ISA ini telah menzalimi ramai individu yang tidak berdosa. Malahan mobilasi besar desakan mansuhkan ISA ini juga diharap dapat membuka mata kerajaan dan dunia antarabangsa agar tiada alasan lagi dikemukakan untuk menutup secara segera Kem Kamunting sebagai simbol kezaliman akta ISA ini.

AMK Selangor menggesa agar perhimpunan aman 1 Ogos ini tidak dicemari dengan sebarang provokasi dan tindakan ganas daripada mana-mana pihak kerana jelas Perlembagaan Negara memberi hak kepada rakyat untuk berhimpun secara aman. Walaupun pihak PDRM mengeluarkan kenyataan yang mengklasifikasikan perhimpunan 1 Ogos tanpa permit namun kita menggesa pihak PDRM dapat menunjukkan semangat professional yang tinggi untuk mempertahankan prinsip Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang serta mempertahankan suara rakyat.

Akhirnya, AMK Selangor mengharapkan sokongan kuat dan hebat anak muda pelbagai lapisan tanpa mengira fahaman politik serta perbezaan agama dan bangsa untuk bersama-sama pada 1 Ogos ini memenuhi bandaraya Kuala Lumpur. Jika bukan kita siapa lagi dan jika bukan sekarang bila lagi ?. Justeru ini adalah detik terbaik untuk anak muda melakar sejarah baru mendesak akta ISA yang zalim ini dimansuhkan segera. Kita mahu buktikan bahawa tanpa ISA, Malaysia dan rakyat keseluruhannya akan hidup lebih adil,aman dan damai serta makmur sejahtera.

Khairul Anuar Bin Ahmad Zainuddin

Ketua AMK Selangor