KENYATAAN MEDIA
ANGKATAN MUDA KEADILAN SELANGOR
PARTI KEADILAN RAKYAT
12hb Julai 2009
MANSUHKAN PPSMI SEGERA BUKAN PADA TAHUN 2012.
Angkatan Muda Keadilan Selangor mengalu-alukan pemansuhan PPSMI yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri. Namun AMK Selangor mempersoalkan kebijaksanaan pihak kerajaan yang perlu menunggu sehingga 2012 sedangkan terbukti perlaksanaan PPSMI membawa impak negatif kepada para pelajar.
AMK Selangor juga meragui pemansuhan PPSMI pada tahun 2012 kerana dalam tempoh 3 tahun tersebut adalah terlalu lama dan boleh berlaku apa jua kemungkinan. Justeru pemansuhan segera PPSMI dilihat mekanisma terbaik untuk memastikan nasib pelajar dalam tempoh 3 tahun tersebut tidak menerima impak negatif setelah kajian yang dijalankan membuktikan PPSMI gagal dan memberikan kesan yang negatif kepada bahasa Melayu dan juga para pelajar.
AMK Selangor juga mempersoalkan rasional dan perlunya pihak kerajaan mengadakan perbincangan dan taklimat selama 3 jam kepada Tun Mahathir Mohammad berkenaan isu PPSMI sedangkan beliau sudah tidak ada lagi sebarang kepentingan dalam menentukan halatuju dan polisi negara ini. Justeru AMK Selangor merasakan seolah-olah kerajaan sekarang masih dipengaruhi dan dikawal oleh mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohammad untuk melaksanakan sebarang pembaharuan.
AMK Selangor juga menggesa pihak kerajaan agar juga segera memulihkan penguasaan bahasa Melayu kepada para pelajar yang telah melalui dasar PPSMI dan tidak membiarkan nasib pelajar terkapai-kapai akibat penggunaan bahasa Inggeris sebelum ini.
Akhirnya, AMK Selangor berharap agar pemerkasaan bahasa Melayu dalam sains dan matematik akan kembali diperkukuhkan. Sudah tiba masanya pihak kerajaan membuat anjakan paradigma untuk memastikan bahasa Melayu kembali unggul di persada antarabangsa.
Siva Shankar A/L Ganesan
Timbalan Ketua Penerangan
AMK Selangor