Rabu, 12 Mei 2010

AMK Selangor Bidas Pehimpunan Gertak 13 Mei

Kenyataan Media

Angkatan Muda Keadilan Selangor

Parti Keadilan Rakyat

12hb Mei 2010

AMK Selangor Bidas Pehimpunan Gertak 13 Mei

Angkatan Muda Keadilan Selangor membidas satu perhimpunan bersifat rasis dan menyemarak sentimen perkauman sempit yang dianjurkan oleh Institut Integriti Malaysia (IIM) Terengganu dan Gerakan Kebangkitan Rakyat (Gertak) yang bertema ‘Melayu Bangkit’ pada Khamis, 13 Mei ini di Stadium Tertutup Kompleks Sukan, Kuala Terengganu.

AMK Selangor yakin perhimpunan tersebut tidak wajar diadakan dalam suasana negara yang menuju ke arah keharmonian dan kasih sayang antara pelbagai agama dan bangsa. Sewajarnya perhimpunan seperti ini ditolak kerana menimbulkan suasana tidak senang, kerana tarikh 13 Mei adalah satu peristiwa hitam yang sepatutnya tidak lagi dimomokkan untuk menakut-nakutkan rakyat.

Justeru, golongan muda perlu melihat dan berfikir positif ke arah mewujudkan negara yang lebih harmonis dan berkasih sayang dalam masyarakat pelbagai kaum. Kita menyeru rakyat tidak terjebak dan terpengaruh dengan taktik perkauman sempit yang hanya untuk kepentingan politik sempit semata-mata.

Apa yang menjadi keutamaan sekarang ialah bagaimana masyarakat pelbagai bangsa saling bekerjasama dalam suasana muhibbah untuk membawa perubahan dan kemakmuran negara. Menjadi sebuah negara yang hebat memerlukan rakyat dan pemimpin berjiwa besar dan saling lengkap-melengkapi untuk membawa sinar dan harapan baru Malaysia.

AMK Selangor mengecam penggunaan isu-isu perkauman sempit dan peristiwa 13 Mei, seolah-olah untuk memberikan gambaran ngeri keadaan dan situasi negara masakini. Isu ini merugikan negara kerana masyarakat pelabur dan luar negara merasakan situasi politik yang tidak stabil lagi. Kita menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama bangkit dan berganding bahu pelbagai bangsa mengorak langkah yang lebih bermakna untuk negara ini.

Khairul Anuar Bin Ahmad Zainuddn

Ketua AMK Selangor