Selasa, 4 Mei 2010

Gesa PDRM Laksanakan Perubahan Total

Kenyataan Media

Angkatan Muda Keadilan Selangor

Parti Keadilan Rakyat

04hb Mei 2010

Gesa PDRM Laksanakan Perubahan Total

Angkatan Muda Keadilan Selangor menggesa Ketua Polis Selangor dan Ketua Polis Negara agar mengembalikan maruah yang tercalar arwah adik Aminulrashid atas dakwaan tidak berasas yang dikeluarkan sebelum ini. Ia adalah untuk memastikan imej arwah tidak ditohmah dengan pelbagai dakwaan kematiannya akibat tembakan daripada pihak polis.

AMK Selangor juga menyokong gesaan keluarga arwah Aminulrashid agar kes ini disiasat oleh Suruhanjaya Diraja dan bukan inkues. Kita percaya PDRM masih berkeupayaan melaksanakan tugas dan amanah sebagai institusi keselamatan penting negara namun imej mutakhir ini mencalar kepercayaan rakyat.

Justeru, kita mengharapkan pihak PDRM tidak beranggapan seolah-olah rakyat memusuhi mereka tetapi keprihatinan rakyat dan pimpinan politik serta masyarakat berkenaan isu ini semakin amat meningkat. Suara kehendak rakyat ialah agar individu yang melepaskan tembakan dihadapkan ke muka pengadilan dan diberi hukuman sewajarnya. Kita tidak mahu ada kes-kes sedemikian berulang lagi di masa hadapan.

Kita juga yakin,rakyat memberikan kepercayaan tinggi kepada PDRM melaksanakan tugas pembanterasan jenayah. Ini dibuktikan bahawa rakyat terus mendapatkan khidmat PDRM atas apa jua kes. Sewajarnya kejadian ini menjadi titik tolak kepada PDRM untuk melaksanakan perubahan total terhadap standart dan prosedur PDRM serta memperbaiki kelemahan yang masih wujud.

PDRM perlu laksanakan perubahan total dan perbaiki mutu standart kerja kalangan anggotanya. Masih ada ruang untuk laksanakan pembaikan di segenap segi serta pertingkatkan prinsip professionalismanya.

Khairul Anuar Bin Ahmad Zainuddin

Ketua AMK Selangor