Khamis, 30 April 2009

SELAMAT HARI PEKERJA 1hb MEI...

SELAMAT HARI PEKERJA. TERIMA KASIH ATAS SOKONGAN WARGA PEKERJA DALAM MEMBANGUNKAN SELANGOR DAN JUGA MALAYSIA. PEKERJA NADI KEMAJUAN NEGARA.

Kenyataan Media

ANGKATAN MUDA KEADILAN SELANGOR

PARTI KEADILAN RAKYAT

30hb April 2009 

 PEMBUANGAN PEKERJA : USAHA PELBAGAI PIHAK PERLU DISEPADUKAN SEGERA.

            Kegawatan ekonomi dan kewangan global yang bermula di Amerika Syarikat mula melanda Malaysia kini. Perkembangan mutakhir ialah berita bahawa hampir 200,000 orang pekerja di Malaysia bakal diberhentikan kerja dalam tahun 2009 ini.

            Dalam isu ini, Angkatan Muda Keadilan  Selangor menggesa agar semua pihak mengambil tindakan yang proaktif dan futuristik dalam menangani cabaran getir ini sebelum keadaan pada masa akan datang menjadi lebih teruk dan parah.

            Justeru AMK Selangor mencadangkan beberapa pendekatan kepada kerajaan pusat dan kerajaan negeri yang dilihat mampu memberi harapan baru untuk golongan pekerja yang diberhentikan meneruskan kehidupan seharian mereka.

 

Dalam menangani cabaran ini AMK  Selangor memberi cadangan perancangan khas  dalam usaha membela nasib para pekerja khususnya di negeri Selangor Darul Ehsan . Ia diharap dapat memberi sinar  untuk mereka meneruskan kehidupan dengan lebih baik.

            Pertama : Memberi elaun sara diri atau baucer sebanyak RM500.00 sebulan kepada golongan ini untuk 3 bulan pertama. Ia adalah bertujuan sebagai menampung kos sara hidup untuk tiga bulan pertama pemberhentian kerja supaya mereka dapat menampung kos sara diri dan keluarga. Dalam hal ini kerajaan pusat dan kerajaan negeri boleh menubuhkan satu tabung khas untuk membantu golongan pekerja ini. Elaun sara diri ini dikhususkan kepada pekerja yang langsung tidak mendapat pampasan,VSS atau skim-skim lain.

            Kedua : Pihak Kerajaan Negeri Selangor dan Lembaga Zakat Selangor perlu mengadakan program latihan kerja baru dan skil-skil baru untuk kepada golongan pekerja ini. Pihak Lembaga Zakat Selangor boleh mengadakan program motivasi dan inspirasi dalam bentuk pemantapan dalaman agar mereka mempunyai kekuatan dalaman yang kuat bagi berhadapan situasi krisis ekonomi ini. Malahan pihak LZS diharap dapat menyediakan bantuan perniagaan mudah di bawah RM5,000.00 untuk mereka yang memerlukan modal awal membuka perniagaan secara kecil-kecilan.

            Ketiga : Kita menggesa agar para majikan yang ingin membuang pekerja agar mengikut peraturan yang ditetapkan oleh Kementerian Sumber Manusia dan tidak membuang pekerja tempatan dahulu. Mulakan pemberhentian pekerja kepada para pekerja asing dahulu. Kita juga mencadangkan pihak kilang yang ingin membuang pekerja agar bekerjasama dan mengadakan sessi pertemuan khas dengan pihak kementerian yang berkenaan untuk bersama-sama membantu nasib golongan pekerja.

            Keempat : Pakej rangsangan ekonomi negara perlu digerakkan dan disalurkan dengan sistematik, efektif dan mesra dalam memastikan pakej yang diadakan benar-benar membantu pertumbuhan ekonomi negara. Kita menggesa agar tiada sebarang penyelewengan dana rakyat di samping  semua pihak mengamalkan sikap ketelusan, kejujuran dan professionalisme dalam menjalankan amanah rakyat.

            Kelima : Mengurangkan kadar tarif elektrik dan air, pengurangan kadar cukai syarikat, pembayaran cukai untuk PBT kepada pihak industri dalam tempoh kegawatan ekonomi ini. Ianya boleh mengurangkan kos perbelanjaan operasi industri keseluruhannya dan ianya diharap boleh mengelakkan sebarang pemberhentian pekerja warga tempatan.

Kita juga mencadangkan agar pihak LHDN memberi kelonggaran sedikit terhadap pembayar-pembayar cukai untuk tahun 2009 dan 2010 ini dengan tidak mengenakan sebarang tindakan keras kepada pembayar cukai yang tidak dapat membayar cukai dalam tempoh masa yang ditetapkan seperti menahan pasport antarabangsa dan sekatan-sekatan lain.

            Keenam :        Kerajaan negeri Pakatan Rakyat disyorkan untuk mengadakan  sessi khas pertemuan bagi mengkoordinasikan satu pelan gerak kerja yang efektif untuk menangani cabaran ini. Melalui pertemuan ini diharap satu mekanisma pelan kerjasama boleh diambil melalui tabung khas dana pemberhentian pekerja ini supaya dapat diwujudkan.

            Malahan kerjasama ini juga wajar menjangkau sempadan fahaman politik kerana kita semua rakyat Malaysia perlu bersama-sama menumpukan usaha menyelamatkan negara daripada terus terjebak dengan cabaran kegawatan ekonomi global. Sessi dialog antara para pekerja,kesatuan pekerja,majikan dan pihak kerajaan perlu diadakan dengan lebih berkala untuk memastikan warga pekerja sentiasa mendapat pembelaan.

            Ketujuh : Mewujudkan peluang pekerjaan baru untuk menggantikan sektor yang kurang berdaya saing ketika kegawatan ekonomi. Kerajaan perlu proaktif meneroka dan membina peluang kerja baru melalui hasil-hasil penyelidikan R@D daripada universiti-universiti tempatan. Kerajaan ,industri dan pihak swasta boleh meneroka bidang industri baru khususnya membuat perubahan beberapa strategi pendekatan fokus ekonomi daripada berasaskan carbon based  economy kepada green energy eficiency economy yang dilihat mampu memberi peluang pekerjaan baru di masa hadapan.

            Dalam kenyataan media ini juga, AMK Selangor juga menggesa kerajaan terus konsisten membela nasib golongan pekerja tempatan dengan pakej-pakej pembelaan kebajikan yang berkesan. Kita juga meminta agar pihak kerajaan pusat dan negeri menyediakan perancangan khas untuk para graduan yang belum mendapat pekerjaan dan yang bakal keluar kepada sektor pekerjaan agar nasib masa hadapan mereka juga mendapat jaminan.

            Justeru untuk mencapai matlamat memperkukuh ekonomi negara adalah diseru agar polemik politik yang tidak memberi untung kepada rakyat agar diketepikan segera. Semua pihak perlu berfikiran inovatif , positif dan bersatu tanpa mengira kepentingan politik sempit untuk membawa bersama-sama kembali memacu pertumbuhan ekonomi negara ke landasan  yang lebih kukuh dan mantap.

            Sempena 1hb Mei ini, AMK Selangor mengucapkan Selamat Hari Pekerja. Setinggi penghargaan kepada warga pekerja yang selama ini bertungkus lumus dalam membina negara yang lebih maju dan berdaya saing.

Mohd Ezli Bin Mashut

Ketua Penerangan 

Angkatan Muda Keadilan Selangor

017-6543974 / ezli007@hotmail.com